Tarikan pelawat Kerian

Bukit Merah Laketown Resort

Melalui Lebuhraya Utara-Selatan iaitu ke persimpangan tol Bukit Merah mengambil masa 35 minit dari Jambatan Pulau Pinang dan lebih kurang 1 jam dari bandaraya Ipoh.Melalui Jalan Persekutuan 1 iaitu ke Bukit Merah Lake Town dari Pulau Pinang perlu melalui Jalan Kerian dan Jalan Kubu Gajah yang mengambil masa 75 minit dari Jambatan Pulau Pinang.Melalui Jalan Persekutuan 1 dari Taiping pula melalui Jalan Kerian dan Kubu Gajah yang mengambil masa lebih kurang 45 minit perjalanan.Antara kemudahan rekreasi yang didapati di sini adalah :-

  • Taman Tema Air atau "Water Theme Park"
  • Orang Utan Island
  • Taman Eco-Park
  • Tempat penginapan seperti Lake Town Inn.

Pinggiran Sungai Kerian

Keunikan daerah ini ialah kerana terletak bersempadan dengan 3 buah negeri yang mana Sungai Kerian adalah garis sempadan ketiga - tiga negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Hulu Sungai Kerian terletak di Selama, manakala Kuala Sungai Kerian terletak di Kampung Sungai Acheh, Daerah Seberang Perai Selatan. Di pinggiran Sungai Kerian terdapat banyak kemudahan riadah dan rekreasi. Pesta air menjadi acara tahunan di sini.

Kuala Gula Bird Sanctuary

Kuala Gula merupakan kawasan perkampungan nelayan yang terletak dalam Daerah Kerian. Ia merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Matang yang terdiri dari hutan paya bakau seperti pokok Api-Api "Avicennia spp" dan pokok Bakau "Rhizopora spp". Kuala Gula juga merupakan kawasan persinggahan pelbagai spesis burung dari Hemisfera Selatan ke Utara terutama dari Siberia dan Mongolia. Burung-burung tersebut mula singgah di sini di antara bulan Ogos hingga April. Sebanyak 166 spesis burung terdapat di sini pada masa tertentu. Di antara spesis burung yang menarik adalah Burung Upih "Mycteria Cinerea" dan Burung Botak Kecil " Leptopilos Javanicus" yang datang dari kepulauan Siberia. Selain itu, Burung Camar Putih, Burung Tukang Kubur dan spesis haiwan lain seperti monyet, ikan lumba-lumba, harimau bintang dan lain-lain boleh dilihat di kawasan ini. Disini terdapat kemudahan penginapan (chalet).

Pantai Ban Pecah

Ban Pecah adalah satu kawasan riadah pantai berbatu bagi kegiatan memancing di daerah Kerian, ia juga cukup terkenal dengan makanan laut antaranya ialah 'kari sembilang merah'. Ban Pecah juga sering dikunjungi oleh pelancong dari negeri Kedah,Pulau Pinang,Perlis malah ada pelancong dari Kuala Lumpur yang datang ke Ban Pecah ini untuk memancing ikan sembilang merah yang hanya terdapat di daerah Kerian sahaja.

Ladang Arowana

Air dari kolam Bukit Merah, Kerian, Perak sesuai bagi Ikan Arowana membiak. Arawona (juga dikenali sebagai Kelisa) merupakan spesis ikan hiasan yang paling mahal di dunia dan harganya boleh mencecah hingga puluhan ribu ringgit seekor. Disebabkan oleh nilai komersilnya maka Arowana telah diternak secara besar-besaran di kawasan Bukit Merah. Pelawat boleh datang sendiri untuk melihat bagaimana industri akuakultur ini yang sangat berkembang pesat atau ingin menyertai industri yang sungguh lumayan ini.